Nuffnang ads

Saturday, August 19, 2023

SANUSI Bab 1: MENGENANG JASA AKI...

 MENGENANG JASA AKI...

Oleh: Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor

Monsun Barat Daya

"Mu gi lah pinjam seluar A'la  Tok Guru selai, dia ada banyak kot. Mana thu kot- kot seluar lama dia mu buleh pakai. Baju tu pakei la yang lama tu dulu!" Kata Mak pada satu malam. Di celah tangga (atas anak tangga) dalam kegelapan, duduk seorang anaknya yang baru lepas darjah enam. " Laa mak ni, aku kan besar lagi pada dia, dia kurus kering, mana aku buleh pakei seluar dia. Mak cari la sat duik kat sapa-sapa, aku nak gi beli di Jeniang esok. Lusa sekolah buka dah ni."

Aki nak masuk tingkatan satu di Sekolah Arab Batu 8, nak jadi ustaz.   Budin dah nak masuk tingkatan dua di SMK Tengku Sulong dan Kak Ndun baru lepas SRP, berharap dapat  asrama di Khir Johari. Sobri darjah empat (10 tahun), Ajik (6), aku (5), Saidi (3) dan Siti (1) hanya tahu membuka mulut untuk makan. Seluar sekolah Budin warna hijau dan pendek, sekolah arab kena seluar panjang warna putih. Aki hanya ada seluar pendek warna biru sekolah rendah. Tak boleh kongsi-kongsi.

Selepas seminggu, seminggu, orang lain dah bersekolah, Aki masih belum dapat seluar panjang puteh. Kalau keluar ke kedai, aku dapat tengok Bakar Chu Daud, A'la, dan beberapa budak lain mengayuh gerek balik dari sekolah, dengan seluar panjang putih, baju puteh, kopiah puteh...lawa depa ni... Seluar macam ni lah Aki nak, tapi tak dapat lagi... Mak tak dak duik nak beli baru, nak pinjam kat orang, Aki badannya besar, tak celuih! ( kalau celuih pun belum tentu orang nak bagi, depa pun mungkin ada selai tu saja)

Aku belum masuk darjah satu, Aki sudah menanggung batang ubi Ah Neow. Masa berlalu pantas, Lepas kerja tanam ubi, Aki melengung tidak berhaluan di rumah. Satu hari Pak mengamok sakan. 

" Jangan bagi dia balik, kalau aku jumpa dia siap dengan aku. Ambomak! Gi dok berjahat tangan cari natang pa?"

Pak aku cengey! Dehemnya saja sudah mengecutkan perut dan teloq. Sunyi sepi kalau Pak ada di rumah. Sudah dua hari Aki tak balik. Dia balik setakat pokok bunga cina tengah bendang tu saja, sambil pasang telinga. Kalau dia dengaq suara Pak, dia patah balik ke menaksah (surau) tidur baring di sana. 

Tengahari, hari ketiga Aki lari, mak menapak ke menaksah  hantar nasi. Lama mak di sana, malamnya mak mengadu. Aki demam terok, bagi la dia balik. Pak diam. Semua diam. Mak ambil pelita minyak menyusuri tangga membelah malam. Mencari Aki barangkali.

Mak tarik tangan Aki naik ke rumah. Aki yang telah 3 hari dalam pelarian dalam ketakutan,  hanya berkain pelekat tanpa baju, berselimut telanjang, kesejukan, demam! Mata kami terpaku padanya.

Di tangan Pak sudah siap ranting kayu diberkas kemas. Mari sini! Ganggaman tangan Mak terlerai dari siku Aki. Tanpa siapapun mampu bersuara, Pak melibas belakang Aki yang hanya beralas kain pelekat lusuh berpetak biru. Tiga kali libas dengan tangan kiri, Mak tunduk menangis dalam kesamaran pelita minyak tanah, Aki memejam mata kepedihan. Ambomak! Mu jangan dok buat dah! Aki merebahkan badan dalam gelap di sudut rumah,  aku belum dapat menduga, sejauh manakah sakitnya libasan rasmi  Pak, sehingga aku merasainya 10 tahun kemudian.

Esoknya aku baru tahu, mungkin berkhayal menanti nasibnya yang belum berhaluan, Aki bermain pisau dapur Mak. Tangannya melepas tetakan di tiang rumah, mungkin berhari-hari, berulang-ulang hingga salah satu tiang rumah kami putus, dan rumahpun senget. Patut la Pak marah sangat!

Masa berlalu, Aki membawa diri bekerja kontrak dengan Seroh Tok Saa'ri di Slim River, Perak. Satu hari Aki balik sebelah matanya berbalut. "Matamu kena pa"? Mak bertanya. 

"Masuk racun dok ambik upah meracun ladang sawit". Aki menjawab.  Kerana tak nampak untuk terus meracun, taukey hantar dia pulang. 

"Mu kata mu nak kerja dengan Seroh, pasaipa mu gi meracun pulak"? Mak bertanya. 

"Aku jadi kuli (capkang) kerja kontrek bacuh simen, masa gilir aku tolak batu dengan pasir, dema boh penuh menimbun kereta surung. Masa gilir orang lain, dema boh sikit, aku tak larat"!  Jawapan Aki mengiang di telinga sampai sekarang. Mata Mak merah memandang anak jantan enam belas tahun itu.

Aki kemudian merantau jauh ke Singapura jadi buruh binaan. Dia juga pernah ke Kuala Lumpur dengan Keman Majid (Lokman Hakim Pak Lang Majid). Semua kerja dia buat, dari umurnya belasan tahun, sehingga aku tak pernah ambil tahu dia di mana. Keman Majid menikah dengan orang Banting, kekal di sana sampai sekarang. Kadang-kadang ada telefon aku bertanya hal politik. Aku cakap ulu dengannya, dia masih faham.

Sehingga suatu malam, aku di tingktan 3, sedang mengulangkaji subjek geografi. Aku berteka teki dengan Saidi dan Ajik. " Monsun barat daya bertiup dari bulan berapa ke bulan berapa?" 

Dari celah tangga Aki menjawab -  " Monsun barat daya bertiup pada bulan mei hingga september, membawa hujan lebat ke negeri pantai barat Semenanjung Malaysia." Aku terkedu! Aki membaca buku juga rupa-rupanya.

Aki banyak jasanya. Sobri dapat terbang ke awan menjejaki Al-Azhar, sebahagiannya adalah duit keringat Aki. 

Ajik, aku, Saidi, Siti, Pijah, Shila, Hasnah dan Ain, ada daging dan darah dari keringatnya. Adik-adikku, kenangilah pengorbanan dia. Pandanglah wajah anak-anaknya dengan kasih sayang dan terima kasih tidak berpenghujung. Kerana ayah mereka tidak ke sekolah menengah, membanting tulang seusia 14 tahun, kita semua dapat berada di sini sekarang.

Nukilan:

- Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor-


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...